Freelance - Sinonim dengan Dunia Rekabentuk

Tentu ramai yang mengetahui tentang istilah ‘freelance’ terutamanya yang terlibat dengan dunia rekabentuk. Freelance adalah satu cara mencari sumber rezeki samada secara sepenuh-masa atau pun separuh-masa.

Menurut definisi, freelance (atau freelancer) adalah seseorang yang menjalankan profesion tanpa komitmen jangka panjang terhadap mana-mana majikan. Di negara kita, terdapat ramai juga yang mempraktikkan kerja-kerja secara freelance. Kalau di dalam bidang rekabentuk, ianya semacam perkataan yang biasa disebut-sebut di dalam kalangan ‘designer’. Kadangkala, macam berlumba-lumba untuk mengejar kerja-kerja freelance (nak tambah pendapatanlah katakan…).

Mengikut pengalaman saya sendiri satu ketika dahulu, designer sanggup bersengkang mata hingga ke pagi untuk menyiapkan kerja freelance. Ini kerana di siang hari kita terikat dengan kerja dengan majikan tetap. Perjumpaan dengan klien pula dilakukan di luar waktu pejabat - ketika rehat tengahari atau selepas waktu pejabat atau pada hujung minggu. Apa yang seronoknya ialah pada hujung bulan, gaji masuk dan dapat juga duit tambahan hasil kerja freelance.

Pada umumnya, ramai yang melakukan kerja freelance untuk menambahkan pendapatan bulanan. Ada juga disebabkan minat (passion) - mungkin kerja-kerja di pejabat tidak selari dengan minat peribadi. Golongan ini akan merasakan seronok kerana dapat melakukan banyak kerja yang bukan rutin (kebanyakan designer tidak suka kerja-kerja rutin). Ada juga yang melakukannya kerana minat dengan dunia bisnes dan memiliki bisnes sendiri adalah satu impian.

Satu lagi kelebihan freelance ialah kebebasan. Kebebasan ini dapat dinikmati oleh freelance sepenuh-masa. Kebebasan yang dimaksudkan adalah daripada segi pengurusan masa (jadual kerja), kebebasan memilih jenis kerja, kebebasan daripada segi protokol berpakaian ketika membuat kerja dan kebebasan menetapkan harga projek.

Walaupun saya spesifikkan artikel ini kepada dunia grafik, freelance juga terdapat di dalam bidang-bidang lain seperti pengaturcaraan, penulisan, kewartawanan, fotografi, penjahitan, pendidikan dan pengurusan. Apa yang saya boleh simpulkan ialah sesiapa sahaja yang mempunyai kemahiran peribadi mampu untuk menawarkan servis freelance. Terpulang kepada individu untuk mempraktikkannya atau pun tidak.

Faktor lain yang membolehkan seseorang itu membuat kerja freelance ialah pengurusan masa. Sekiranya, kerja di pejabat terlalu banyak maka susah untuk membuat kerja lain. Adakalanya, individu tertakluk dengan perjanjian dengan majikan yang melarang individu tadi sebagai pekerja tetap syarikat untuk melakukan kerja-kerja selain daripada kerja syarikat tersebut. Perlanggaran perjanjian seringkali mengakibatkan seseorang itu kehilangan pekerjaan tetapnya. Freelance yang tabah akan sanggup menggalang beban dua kerja (kerja pejabat dan kerja freelance) pada satu masa. Ini adalah kerana mengikut kebiasaannya designer tersebut terpaksa berjaga sehingga lewat malam setiap hari untuk menyiapkan kerja.

Dengan adanya internet, pasaran freelance menjadi sangat besar dan sangat berpotensi tinggi untuk mendapatkan kerja. Internet membuka peluang bagi freelancer untuk mendapatkan kerja daripada dalam negara mahu pun luar negara secara online. Selain daripada dapat mengurangkan kos logistik, internet menyediakan tawaran kerja yang sangat banyak. Sekiranya, seseorang freelancer itu membuka akaun PayPal contohnya dia boleh mendapatkan kerja daripada luar negara dan mendapatkan bayaran dalam dolar Amerika. Sangat menguntungkan, bukan?

Cabaran bagi kerja-kerja freelance pula adalah daripada segi pendapatan yang tidak tetap (bergantung kepada tahap kerajinan masing-masing). Freelancer juga tiada simpanan EPF (KWSP) untuk masa-masa tua nanti. Jadi, kena pandai berjimat dan pandai membuat pelaburan masa hadapan. Disiplin masa juga menjadi isu sekiranya sikap yang baik tidak ada dalam diri freelancer tersebut. Adakalanya, freelancer terjebak dengan terlalu banyak kerja (komitmen) pada satu-satu masa (mungkin sebab tamak, atau kerja yang tertangguh). Ini akan mengakibatkan apa yang orang selalu kata ‘tak menang tangan’ dan tak cukup masa untuk menyiapkan kesemua kerja.

Apa yang diperlukan oleh seseorang itu untuk menawarkan kerja-kerja freelance? Pertama sekali, seseorang itu perlu mempunyai portfolio yang baik (contoh hasil kerja yang berkaitan). Kemudian, dia perlulah mempunyai sikap (attitude) yang baik dan bertanggungjawab. Sikap ini adalah penting kerana ada freelancer yang mempunyai masalah pengurusan masa sehingga kerja yang diberikan tidak siap pada tempoh yang dijanjikan. Tanggungjawab freealancer adalah sentiasa berkomunikasi dengan klien. Beritahu klien sekiranya menghadapi cabaran untuk menyiapkan kerja, jangan mendiamkan diri dan kemudian melarikan diri.

Secara kesimpulannya, freelance adalah cabang profesion. Sekiranya dilakukan secara separuh-masa ianya mampu menambah pendapatan bulanan. Manakala sekiranya dilakukan secara sepenuh-masa ianya mampu memberi kebebasan bekerja serta kepuasan berkarya kepada individu terbabit. Apa yang penting di sini ialah bagaimana seseorang itu menguruskan dirinya untuk membuat kerja freelance kerana bos freelance ada diri sendiri (You are Your Own Boss!).

Insya-Allah saya akan cuba tulis lagi artikel berkenaan freelance ini serta tips-tips untuk menjana pendapatan melalui kerja-kerja freelance.-Imran Abdul Jabar: Pengasas Sifoo.com. http://www.sifoo.com

No comments:

Post a Comment